Latest Updates

Sering tersadung

MALU mungkin perkara pertama yang terlintas di benak sesiapa saja yang melihat kaki Shaliza Shah Zulkarib, 38. Malu jugalah yang berkunjung ke dalam pemikiran pemilik tubuh itu ketika pertama kali beliau disahkan menghidap Lymphedema praecox iaitu sejenis penyakit untut.


Berupa luar biasa dengan bonjolan, bengkak dan kulit yang berlipat, kedua-dua belah kaki Shaliza membengkak sehingga menghilangkan bentuk asalnya. Tiada lagi kakinya yang panjang atau betisnya yang bagaikan bunting padi yang pernah dimiliki suatu ketika dahulu.
Jangankan hendak menyarung seluar jean yang menjadi kegemaran ramai wanita pada hari ini, kain atau skirt yang dipakainya juga perlu ditempah khas kerana saiz kakinya yang tidak menentu bentuknya dan terus membesar itu.
“Mula-mula saya dapat tahu saya menghidap untut, dua bulan saya menangis dan tidak keluar rumah. Saya tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Rasa malu dan kecewa.


“Saya betul-betul terkilan sebab hajat saya hendak tolong keluarga,” ceritanya yang kini mempunyai berat badan 160 kilogram.
“Kami enam beradik, semuanya bersekolah. Ayah kerja kerani di Jabatan Meteorologi. Emak tak kerja. Selepas tamat sekolah menengah, saya cuba nasib di MAS dan pada masa yang sama bercita-cita untuk menyambung pelajaran hingga ke peringkat universiti,” tambah Shaliza.
Sebulan selepas mula bekerja sebagai krew kabin, ibu kepada lapan orang anak ini menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka.
“Perakaunan adalah kursus kegemaran saya. Tapi saya tolak kerana mahu melihat abang dan adik-adik saya habiskan pengajian. Fikir saya, selepas bekerja lima tahun, mungkin dapat sambung belajar semula,” kongsinya.
Belum pun lima tahun bekerja, kaki Shaliza pula membengkak.
MUNGKINKAH Shaliza akan mendapat semula kakinya yang cantik bagaikan bunting keladi itu?


“Jadi cita-cita (untuk sambung belajar) itu sampai di situ saja.
“Nasib baiklah MAS membenarkan saya terus bekerja,” katanya yang sempat menjadi pramugari selama lima tahun sebelum ditugaskan di pejabat pentadbiran bahagian komunikasi Penerbangan Malaysia (MAS).
Berdengkot-dengkot dari dapur ke ruang tamu rumahnya di Kajang, Selangor, sambil mengusung set cawan dan teko berisi milo panas, Shaliza nyata belum hilang semangatnya biarpun sudah berada dalam keadaan ini sejak 19 tahun yang lalu.
“Banyak yang perlu saya fikirkan untuk akhirnya membuat keputusan mahu dibedah sebab kata doktor, selepas saya dibedah, saya akan terlantar di hospital enam bulan sebelum sembuh.
“Kalau tidak beransur baik, kaki saya mungkin akan bengkak semula atau lumpuh sebab urat yang berselerakan atau tersumbat.
“Mungkin juga saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada berbagai jenis ubat bagi mengelakkan kaki kembali membengkak. Saya juga berisiko mengalami pendarahan dalaman,” katanya.
“Lagipun, tidak ada susulan kisah penghidap untut lain yang sebelum ini pernah dikeluarkan media yang mengatakan mereka akan menjalani pembedahan.
PENANTIAN sehingga 19 tahun untuk mendapatkan semula kaki yang normal diharap akan berakhir.


“Malaysia pula, 10 tahun yang lalu, tidak mempunyai pakar seperti di India atau UK yang memang sudah biasa menerima kes seperti ini. Jadi lebih susah untuk saya percaya atau menyerahkan nasib kepada mana-mana pihak,” ujarnya.
Sekarang, anak-anak sudah besar. Sudah boleh menjaga diri sendiri. Sudah boleh berdikari, kata Shaliza. Teknologi perubatan juga sudah semakin canggih.
Dengan sokongan yang diterima keluarga, rakan-rakan, jiran tetangga dan tidak kurang juga mereka yang pernah senasib dengannya, kini Shaliza lebih tenang memikirkan masa depan anak-anak dan suami.
“Adik saya sudah habis belajar. Mungkin dia boleh tolong tengokkan anak-anak saya nanti. Anak-anak pun sudah boleh jaga diri sendiri. Jadi sekarang masa sudah sesuai,” katanya.
Kos pembedahan dan rawatan susulan untuk kedua-dua kaki Shaliza dianggarkan RM500,000.
Banyak tersenyum ketika berkongsi cerita, ada ketika mengalir juga air mata, terutama ketika berbicara tentang tanggungjawabnya sebagai isteri, ibu dan ahli keluarga.
KAKI kirinya yang semakin lemah menyebabkan Shaliza sering hilang imbangan dan terjatuh.


“Saya pun teringin juga hendak melayan keluarga seperti wanita lain. Bila cukup bulan, teringin nak keluar berjalan-jalan, berpiknik di taman, membeli-belah di gedung beli-belah yang besar-besar itu.
“Tapi dalam keadaan ini, saya menjadi cepat letih. Kalau duduk terlalu lama, ngilu mula terasa di bahagian lutut. Kalau berjalan, tapak dan tumit kaki memanglah tidak terkata sakitnya.
“Pinggang pula lenguh-lenguh,” kongsi Shaliza yang kini hanya berkunjung ke pasar raya hiper dan menunggu anak-anak dan keluarga di mana-mana bangku yang ada sementara mereka mencari barang keperluan masing-masing.
Dalam keadaan sekarang, setiap kali melihat kapal terbang melintas, Shaliza hanya dapat memikirkan rasa ngeri sekiranya pesawat itu jatuh terhempas.
“Dulu sewaktu bekerja, memang saya tidak takut langsung. Tetapi apabila melihat ia dari bawah, itulah yang saya rasa,” ujarnya.
INFO
- Shaliza sudah tidak bertemu dengan doktor pakar sejak lima tahun yang lepas. “Cadangan terakhir yang doktor beri ialah membedah kaki ini. Selain itu memang tidak ada ubat untuk merawat untut. Jadi saya sekadar meneruskan hidup dengan keluarga, kerana ada banyak perkara lagi yang perlu difikirkan,” katanya.
- Suaminya, Safuan Abd. Rahim, 43, pernah bertanya kepada Shaliza, kenapa gaji yang diperoleh tidak digunakan untuk membeli barang kemas untuk diri sendiri. “Saya tak pernah terfikir untuk membeli apa-apa untuk diri sendiri. Semuanya memang saya habiskan untuk keluarga,” katanya.
- Semasa bernikah dengan Safuan, Shaliza tidak meminta sebarang duit hantaran. Sebaliknya beliau meminta agar suaminya menggunakan duit itu untuk menghantar kedua ibu bapanya menunaikan fardu Haji.
- Shaliza dan Safuan bertemu jodoh di Jabal Rahmah, Mekah, ketika membawa ibu masing-masing menunaikan umrah.
- Sepanjang 19 tahun menghidap untut, berpuluh kali beliau menjadi mangsa penipuan bomoh dan dukun. Ia sedikit sebanyak membuatkan beliau semakin berputus asa.
“Banyak duit dihabiskan di situ. Sekarang, apabila ada yang menawarkan rawatan sebegitu, kami sudah lebih berhati-hati,” ujarnya.
- Kerana bentuk badan yang tidak seimbang dan kaki kirinya yang lemah, Shaliza sering jatuh, walaupun tersadung permaidani. Pengalaman paling teruk dialaminya ialah jatuh dan terhantuk ke gril pintu sehingga patah gigi hadapan.
- Shaliza tidak boleh makan makanan yang panas seperti berempah kerana ia akan menyebabkan suhu badannya naik dan kemudiannya demam. “Bila demam, kaki akan naik bintik-bintik merah. Kadang-kadang sampai berbisul dan bernanah. Kalau demam, siapa pun tidak boleh sentuh kaki saya.”

Hebat Kereta selaju 1,000 batu sejam dicipta



PROJEK kereta terpantas Bloodhound menyaksikan perlumbaan jentera canggih dibina di seluruh dunia.

LONDON - Selepas kejayaan mencipta kereta berkuasa jet roket pada 1997 dengan kelajuan 1,228 kilometer sejam, penyelidik British kini mahu memecah rekod lebih pantas.

Kereta terbaru yang dikenali sebagai Bloodhound itu dengan kuasa enjin jet Eurofighter-Typhoo, bakal dipandu pada kelajuan 1,000 batu sejam atau bersamaan dengan 1,610 kilometer sejam.
Konsep kereta tersebut yang lebih pantas daripada tembakan peluru senapang patah sudah dijalankan 18 bulan lalu dan projek itu bakal dilancarkan pada akhir tahun 2011.
"Ia mampu memecut daripada sifar kepada 1,690 kilometer sejam dalam masa 40 saat dengan berat badan 12 tan titanium gred tinggi," kata ketua projek, Richard Noble. - Agensi

Selamatkah album foto internet?

Selamatkah album foto internet?
Sejauh manakah selamatnya menyimpan gambar dalam talian pada portal-portal Internet?

GAMBAR-GAMBAR yang disimpan dalam portal Internet berisiko disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

DEWASA ini, kamera digital sudah begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju melangkah dalam era digital. Di majlis-majlis perkahwinan dan keraian lain contohnya, telefon berkamera, kamera digital SLR mahupun kompak sudah menenggelami populariti kamera analog yang menggunakan filem.

Selari dengan perkembangan ini, bilangan laman web yang membolehkan perkongsian foto digital secara umum turut meningkat. Laman web atau online album ini menjadi pusat depositori pengguna untuk menyimpan koleksi gambar mereka buat tatapan sahabat taulan serta saudara mara tidak kira di mana mereka berada.
Namun, adakah selamat untuk berkongsi koleksi foto peribadi anda di laman ini? Sama ada sedar atau tidak, foto peribadi mengandungi maklumat berkaitan anda dan keluarga, harta benda milik anda serta aktiviti yang dilakukan bersama keluarga mahupun teman.
Kekhuatiran ini sebenarnya ada asasnya kerana terdapat banyak laporan tentang pelanggaran privasi yang berpunca daripada perkongsian maklumat pada laman web umum menunjukkan laman seperti ini mungkin tidak selamat sekiranya kita tidak berhati-hati.
Laman web yang membenarkan perkongsian gambar seperti Fotopages, Flickr dan PicasaWeb merupakan portal himpunan gambar yang popular hari ini. Laman ini membenarkan ahlinya menyimpan serta mencoretkan nota pada setiap keping gambar yang terpapar.
Secara umumnya laman seperti ini mendapat keuntungan menerusi cetakan gambar, kad serta cenderahati seperti kalendar yang dicetak dengan gambar pilihan kita. Ahli pula boleh berkongsi gambar dengan teman dan keluarga dengan memberikan pautan kepada laman foto mereka.
Sesetengah laman menawarkan ciri keselamatan dengan menghendaki pelawat memasukkan kata nama berserta kata laluan sebelum dibenarkan melihat gambar di dalamnya. Pelawat juga boleh meninggalkan komen pada mana-mana gambar yang mereka rasakan menarik.
Ketika ramai yang ghairah memaparkan gambar mereka secara dalam talian, ada yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasinya. Wujud kes di mana pemilik album gambar ini diekori oleh seseorang yang tidak dikenali - yang berpunca daripada perkongsian gambarnya sendiri.
Lebih mengerikan, terdapat juga kes pembunuhan dan penculikan di Amerika Syarikat yang berpunca daripada perkongsian gambar. Pada Disember tahun 2004, Lisa Montgomery telah ditahan dan dituduh membunuh Bobbie Jo Stinnett yang ketika itu sedang hamil lapan bulan.
Hasil penyiasatan polis dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati Montgomery mengetahui Stinnett hamil melalui laman web yang memaparkan gambar Stinnett bersama anjingnya. Kemudian penjenayah kejam ini menghubungi Stinnett kononnya hendak membeli salah seekor daripada anjingnya. Tanpa sebarang syak, ibu malang tersebut memberikan alamat rumahnya. Perjumpaan kemudian diatur dan berakhir dengan tragedi memilukan itu.
Apabila maklumat peribadi dihantar ke internet, pastinya anda melakukannya dengan tujuan tertentu seperti berkongsi gambar dengan teman dan keluarga atau mempromosikan perniagaan dan perkhidmatan anda. Namun, apabila maklumat peribadi didapati secara bebasnya di internet, anda kehilangan kawalan tentang siapa yang akan menggunakan maklumat tersebut dan bagaimana ia akan digunakan.



Terdapat banyak maklumat yang terdapat daripada album foto di internet daripada gambar hinggalah nota-nota ringkas. Seperti slogan Fotopages, 'Kerana sekeping gambar melambangkan ribuan perkataan', gambar peribadi boleh membawa pelbagai maklumat kepada mereka yang rapat dengan anda, tetapi sekiranya tidak dihadkan, ia juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak sepatutnya.
Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN

Awas Longan ada bahan pengawet

BASUH LONGAN...Sebelum di makan.

KOTA BHARU - Bagi penggemar buah longan, anda diingatkan supaya berhati-hati ketika memakannya kerana dikatakan mengandungi bahan kimia pengawet 'Sulfur Dioxida' yang meninggal kesan negatif terutama kepada pesakit asma.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Lila P. Mohamed Meeran berkata, mereka yang memakannya boleh mengalami pening dan sakit kepala, berpeluh, hidung berair dan kegatalan kulit.
Katanya, sulfur dioksida yang merupakan sejenis bahan pengawet digunakan secara meluas bagi mengekalkan warna dan tekstur buah termasuk buah longan.
"Peraturan-peraturan makanan 1985 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan hanya membenarkan penggunaan bahan berkenaan sebagai bahan pengawet tetapi tidak melebihi 30 miligram (mg) bagi setiap kilogram buah berkenaan,
"Tetapi penggunaan bahan berkenaan melebihi had yang dibenarkan dan sering dikesan dilakukan oleh pihak-pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Misteri akar pokok

AKAR POKOK...Juga seperti manusia.

SAINTIS telah menemui jawapan bagaimana akar pokok merasakan haluan tumbuhnya dalam kegelapan di dalam tanah.


Apabila akar tumbuhan bercambah dalam tanah, ia menemui pelbagai halangan seperti batu-batu yang menghalang laluannya. Bagaimanapun, akar tersebut 'bijak' membuat lencongan pada sekitar halangan ini dan kajian terbaru yang diperincikan dalam jurnal Science memberitahu bagaimana ia dilakukan.

"Kuncinya terletak pada rerambut yang terdapat pada akar," kata ahli kumpulan kajian Liam Dolan dari John Innes Centre, Britain. "Kami telah mengenal pasti satu mekanisme kawalan penumbuhan yang membolehkan rerambut ini menemui laluannya, seterusnya memanjangkan akar apabila laluan itu tiada halangan.

Akar menemui jalannya di dalam tanah sama seperti manusia yang teraba-raba dalam gelap. Jika ia terlanggar sebarang halangan, ia dapat merasakan ada sesuatu di sekitarnya sehingga ia terjumpa satu ruang yang boleh diteruskan penumbuhan.

Akar melakukan ini menerusi kitaran kimia automatik. Sejenis protein di hujung rerambut akar yang dinamakan RHD2, menghasilkan radikal bebas yang merangsang penyedutan kalsium dari tanah. Kalsium-kalsium inilah yang meneruskan aktiviti kitaran berkenaan.

Kitaran itu akan berhenti apabila rerambut akar itu terlanggar halangan tersebut kerana kalsium tidak dapat lagi disedut. Akar tersebut kemudian mula tumbuh pada haluan yang lain.

Kucing hidup ditusuk panah

Kucing hidup ditusuk panah


GAMBAR menunjukkan sebilah anak panah menembusi kepala seekor kucing.


BLOOMINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seekor kucing di sini masih mampu hidup walaupun kepalanya ditembusi sebilah anak panah, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang doktor haiwan di sini berjaya menyelamatkan nyawa Brownie yang berusia empat tahun apabila anak panah sepanjang 33 sentimeter di bahagian tengkorak itu dikeluarkan.
Haiwan berkenaan dipercayai dipanah oleh individu yang tidak bertanggungjawab namun doktor haiwan tersebut percaya kucing itu selamat kerana ia baru kehilangan salah satu daripada sembilan nyawanya. - Agensi

Hidung, telinga dipotong akibat mengundi

Hidung, telinga dipotong akibat mengundi


KABUL - Seorang rakyat Afghanistan, Lal Mohamed (gambar) tidak menduga dia akan kehilangan hidung dan telinga disebabkan mengundi pada pilihan raya presiden negara itu bulan lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Petani berusia 40 tahun itu menceritakan pengalaman menjadi mangsa pertama dihukum pejuang Taliban kerana enggan memulaukan proses demokrasi itu.
Lebih malang lagi, mangsa itu tidak mendapat rawatan perubatan semasa tiba di sebuah hospital terbesar di Kabul berikutan terdapat ramai pesakit.
Beberapa rakan Lal berkata, dia tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pejabat kerajaan kerana menjadi mangsa Taliban.
Lal ditahan oleh tiga lelaki bersenjata raifal AK-47 ketika mahu pergi mengundi di daerah Dai Kundi.
Lelaki itu memeriksa Lal dan menemui kertas pendaftaran pengundian.
"Mereka menjerit kepada saya dan mula memukul dengan raifal sambil berkata mahu memberi pengajaran," katanya sambil menunjukkan bahagian tulang yang patah di muka.
Keluarganya terpaksa berhutang A$20,000 (RM1,460) daripada peminjam wang untuk membeli ubat dan memulihkan mukanya.
"Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan pinjaman itu," kata Lal.
Dia yang kini dirawat dijanjikan akan menjalani pembedahan plastik di sebuah hospital di sini. - Agensi

Gempar remaja AS keluar air mata darah

Lagi kes keluar air mata darah...


INMAN mengeluarkan air mata darah.




Keratan akhbar menunjukkan Rashida mengeluarkan air 
mata darah.



ROCKWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja lelaki, Calvino Inman yang berumur 15 tahun mengeluarkan air mata darah sehingga menyebabkan doktor-doktor kebingungan kerana mereka tidak mengetahui puncanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu teori menyatakan Inman mengalami sindrom air mata darah yang dikenali sebagaiHaemolacria.
"Saya dapat berasakan ia mengalir seperti air mata," katanya.
Pada satu ketika, air mata darahnya mengalir selama sejam.
Ibunya, Tammy berharap terdapat seseorang yang boleh membantu anaknya itu mengatasi masalah tersebut.
Pada 7 April lalu, Satu  laporan akhbar yang menyatakan seorang gadis di Pathna, India, Rashida Khatoon turut mengeluarkan air mata darah.

Air liur pijat jadi penawar kanser?

Air liur pijat jadi penawar kanser?





PARA penyelidik di Brazil mendapati air liur parasit penghisap darah, pijat mempunyai potensi besar untuk menjadi penawar kanser kulit, hati dan pankreas. Sejenis protein dalam air liur pijat yang ditemui di Amerika Selatan, Amblyomman cajennense didapati mampu mengurangkan dan menghapuskan sel-sel kanser dan membiarkan sel-sel yang sihat terus hidup.

"Ini satu inovasi yang radikal. Komponen dalam air liur pijat ini mungkin boleh menjadi penawar kanser," kata ketua kajian dan pakar biologi molekular, Ana Marisa Chudzinski-Tavassi dari Institut Butantan, Sao Paulo.
Protein yang dinamakan sebagai Faktor X aktif itu ditemui sewaktu ujian ciri-ciri antikelikatan air liur pijat dijalankan. Ciri-ciri itulah yang menghalang penebalan dan pembekuan darah supaya pijat boleh terus menghisap darah mangsa.
Memiliki ciri-ciri yang menyamai antikelikatan lain, TFPI (Tissue Factor Pathway Inhibitor), para penyelidik juga terkejut mendapati protein Faktor X itu tidak membunuh sel-sel normal. Sebaliknya, ia hanya membunuh sel-sel tumor yang dianalisis. - AFP

Ibu gelap lahir anak cerah

Ibu gelap lahir anak cerah


ROSEMERE FERNANDES DE ANDRADE bergambar bersama anak-anaknya di Pernambuco, Brazil baru-baru ini.

OLINDA - Seorang wanita kulit hitam di Brazil, Rosemere Fernandes de Andrade mengejutkan ramai saintis selepas melahirkan tiga orang anak berkulit putih, lapor sebuah akhbar semalam
Seorang profesor genetik dari Universiti Persekutuan Pernambuco, Valdir Balbino berkata, perkara itu jarang berlaku kerana ibu-bapa dan dua adik beradik mereka berkulit hitam.
Menurutnya, peluang mendapat seorang anak albino adalah satu dalam empat hanya jika kedua-dua ibu dan bapa merupakan pembawa gen albino.
Keluarga tersebut tinggal di sebuah setinggan di sini, timur laut Brazil. Tiga kanak-kanak itu kerap menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah mereka
Pesakit albino tidak cukup pigmen melanin yang memberi warna gelap pada kulit, rambut dan mata serta melindungi badan daripada sinaran matahari.
"Saya bimbang mereka dijangkiti barah kulit kerana tiada wang membeli perlindungan yang mereka perlukan," kata ibu berusia 27 tahun itu.
Selain itu, dia pernah ditahan seorang pengawal keselamatan sekolah yang menuduh dia cuba menculik tiga anaknya itu kerana perbezaan warna kulit. - Agensi

Titik gempa hampiri Malaysia

Titik gempa hampiri Malaysia





KUALA LUMPUR – Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.
Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.

Kenali melalui cara berjalan

Serasi adalah satu perkataan yang sering menjadi pokok kepada sesuatu perhubungan. Apabila anda memahami dan mengetahui personaliti pasangan anda, pasti lebih mudah mewujudkan keserasian.

CARA berjalan mungkin boleh membantu kaum lelaki mengenali wanita yang bakal menjadi suri hatinya.

SEPERTI sukarnya mencari mutiara di lautan, begitu jugalah sukarnya untuk menilai seseorang untuk dijadikan suri hidup.

Mencari wanita untuk disayangi seterusnya menjadi pasangan hidup bukanlah seperti memilih atau menukar pakaian.
Menjalani hidup berdua, muafakat dalam segalanya disusuli dengan kasih sayang dan keteguhan hubungan adalah impian setiap individu.
Personaliti seseorang biasanya boleh dilihat daripada pelbagai aspek penjagaan kuku, bercakap, cara makan dan tidak kurang juga melalui cara berjalan.
Penerangan mengenai cara berjalan dan personaliti seseorang wanita mungkin boleh membantu golongan lelaki mengenali wanita yang bakal menjadi suri di hati mereka.
Berginjat
Jika dari belakang kelihatan seperti berginjat, wanita yang berjalan seperti ini dipercayai tidak jujur. Ketika berbual, perkataan yang sering keluar dari mulutnya cenderung menyinggung perasaan orang lain.
Wanita yang berjalan seperti ini juga terkenal dengan sikap ego. Namun jangan risau, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki kerana memiliki wajah yang menarik.
Menoleh ke kiri dan ke kanan
Wanita yang berjalan sambil menoleh ke kiri dan ke kanan biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun wanita seperti ini dianggap tidak jujur dan sombong tetapi ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hati mereka. Wanita seperti ini kononnya senang diatur dan diuruskan.
Menunduk
Wanita yang suka berjalan tunduk atau memandang ke bawah disifatkan memiliki sifat yang tertutup. Mereka hanya akan berbual dengan orang yang rapat dan mereka yang dipercayai sahaja.
Wanita seperti ini biasanya sukar ditakluk hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan kehidupan cinta. Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hati mereka, dijamin akan mendapat kebahagiaan. Sebabnya, wanita jenis ini sangat setia dan tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya.
Kepala menegak
Jika berjalan menatap lurus ke depan. Wanita seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh dan bukan mudah hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-kali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu pergaduhan kecil tercetus. Jangan hairan jika wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang berpengalaman luas sahaja.
Badan bergoyang
Jika wanita berjalan dengan pergerakan badannya ke kiri dan ke kanan, tandanya wanita itu tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, ia akan dianggap kecil. Padahal masalah itu sebenarnya memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Sifatnya yang suka ambil mudah menyebabkan banyak persoalan tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan diri sendiri.
Badan menegak
Jika berjalan badan tampak tegak. Wanita ini tegas menentukan sikapnya sendiri. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampuri oleh orang lain. Gaya bicaranya serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Yang menariknya, wanita ini bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa memiliki sifat-sifat yang manja.
Seperti zirafah
Jika berjalan seperti zirafah, maksudnya, ketika melangkahkan kaki, badannya kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini memiliki perasaan sensitif. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika anda berbual dengan wanita seperti ini kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata.