Latest Updates

Jet terhempas depan penonton



ORANG RAMAI melihat kepulan asap selepas jet Su-27 (gambar kecil) terhempas di Radom, Poland.









WARSAW - Sebuah jet Belarus terhempas semalam dalam satu pertunjukan udara di tengah Poland menyebabkan dua orang yang menaikinya terbunuh, kata beberapa pegawai.
Jet itu, Su-27 terhempas semasa melakukan satu pertunjukan di Radom yang terletak 105 kilometer ke selatan Warsaw, Poland.
Imej di televisyen menunjukkan jet itu hilang di sebalik pokok sebelum kepulan asap menjulang ke udara.
Kementerian Pertahanan Belarus menyatakan nahas itu kemungkinan berpunca daripada sekumpulan burung yang memasuki enjin jet.

- AP

Hantu lebuh raya

MOHD. Fitri tidak menyedari ada imej ‘lembaga’ berbaju merah di belakang isterinya di stesen minyak R & R Gurun sehinggalah gambar ini dimuat turun semula.

ANGAR – Seorang guru bahasa Arab, Mohd. Fitri Mohamad tidak dapat melupakan keanehan yang beliau sekeluarga alami ketika bercuti selama tiga hari ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur minggu lepas.

Sepanjang percutian itu, guru Sekolah Yayasan Islam Perlis, Kangar itu mendakwa anak saudaranya yang berusia dua tahun yang menaiki kereta Proton Wira yang dipandunya berperangai aneh apabila asyik menangis.
Tidak cukup dengan itu, Mohd. Fitri juga mendakwa keretanya terasa begitu ‘berat’ dan beliau ternampak kelibat ‘lembaga’ semasa berhenti di Padang Besar.

GAMBAR ini dirakamkan di stesen minyak yang sama di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun tidak lama selepas imej ‘wanita berbaju merah’ itu kelihatan.


Namun, peristiwa paling mengejutkan mereka ialah kemunculan imej ‘lembaga’ dipercayai wanita berbaju merah yang dirakam dalam sekeping gambar di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Gurun arah selatan sewaktu mereka memulakan percutian pada Jumaat lalu.
Mohd. Fitri, 29, mengakui semasa mengambil gambar isterinya, Shatini Shahidan, 28, yang berdiri di sebelah kereta mereka pada pukul 5.30 pagi itu, tiada sesiapa dilihat berjalan di belakang Shatini.
Lembaga itu muncul dengan wajahnya kabur dan berambut panjang.
“Sepanjang perjalanan selepas itu, kereta saya terasa berat semacam sehingga kos minyak dari Kuala Lumpur balik Perlis mencecah RM100 sedangkan biasanya dalam lingkungan RM60 sahaja,” katanya.
Sewaktu dia menurunkan abangnya di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar sebaik habis cuti pada Isnin lalu, Mohd. Fitri mendakwa ternampak kelibat satu lembaga keluar dari keretanya.
MOHD. FITRI


“Saya sempat membaca ayat Kursi bagi memastikan kami tidak terus diganggu,’’ ujarnya.
Peristiwa itu kemudian dilupakan sehinggalah dia melihat semula gambar yang dirakam di stesen minyak itu menggunakan kamera digital Nikon milik majikan isterinya.
“Berdasarkan gambar itu dan pengalaman saya melihat kelibatnya, ia amat mengerikan iaitu seakan-akan muka beruk dengan pipi lebar dan mulut muncung panjang serta berambut panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Shatini yang merupakan seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberitahu, ketika gambar itu diambil, dia tidak berasa sesuatu yang aneh.



Kejadian yang mereka alami itu berlaku hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi dua kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun ini di Sungai Petani.
Kemalangan itu membabitkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang cedera parah pada 5 Februari. Ia diikuti dengan insiden seorang pemandu lori serta kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas di Kilometer 105, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani pada 19 April.
Dalam kejadian tersebut, mangsa-mangsa mendakwa cuba mengelak ‘wanita berkebaya merah’ yang dilihat melintas lebuh raya di situ.

Tempah patung seks kerana marah

Tempah patung seks kerana marah

GAMBAR menunjukkan patung seks berambut perang yang dihasilkan oleh Diego Bortolin.


ROM - Seorang ahli perniagaan menempah patung seks yang mempunyai tubuh seperti bekas kekasihnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Ahli perniagaan yang berumur 50 tahun itu membuat tempahan tersebut selepas kekasihnya bertindak memutuskan hubungan dengannya.
Ekoran diselubungi kekecewaan, ahli perniagaan itu sanggup membayar sebanyak AS$23,107 (RM72,673) kepada pembuat patung, Diego Bortolin untuk mencipta patung seks itu.
Diego mencipta patung itu di kilang belakang kedainya di Treviso, Itali.
"Patung itu merupakan gadis berwarna perang tetapi dia mahu payu dara yang lebih besar dan bahagian belakang yang melentik," katanya.
Dia berkata, patung-patung yang dikeluarkan oleh kilangnya seperti manusia sebenar.
Bortolin menjelaskan, patung yang dibuat itu amat mahal kerana tubuhnya perlu dibuat mirip bekas kekasih ahli perniagaan tersebut seperti kuku dan gigi.
"Beberapa orang menyatakan patung itu ganjil tetapi dia kini merupakan patung wanita paling sempurna yang pernah saya lihat," katanya. - Agensi

Pelangi muncul dari jet tentera

Pelangi muncul dari jet tentera
GAMBAR yang dirakamkan Bernardo Malfitano menunjukkan pelangi di ekor jet F-22.


SEATTLE - Sekeping gambar yang dirakamkan seorang jurugambar, Bernardo Malfitano memaparkan pelangi muncul dari sebuah jet tentera F-22 yang sedang terbang, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang sering melawat 20 pameran udara di seluruh dunia berkata, gambar unik itu dirakamkan pada Pesta Udara Miramar di San Diego, California pada 2008 hasil proses biasan semula jadi sinaran matahari.
Gambar aksi dramatik itu mula dipertontonkan kepada orang ramai yang mengunjungi Muzium Semangat Penerbangan di sini dan ia berjaya memenangi tempat kedua untuk pertandingan fotografi tahunan penerbangan. - Agensi

Nenek enggan tanduk dipotong



GAMBAR menunjukkan tanduk di dahi kiri Ruifang.



BEIJING - Seorang wanita China berusia 101 tahun, Zhang Ruifang enggan membuang tanduk yang tumbuh di dahi kirinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang menetap di Linlou, wilayah Henan, mula menyedari mempunyai tanduk pertama pada tahun lalu yang kini sepanjang enam sentimeter.
Beberapa doktor tempatan pula mengesahkan satu lagi tanduk di dahi kanannya akan muncul.
"Ada juga doktor yang mendakwa mereka boleh memotong tanduk itu secara percuma namun saya enggan berbuat demikian kerana yakin akan ada satu lagi tanduk baru akan tumbuh," kata Ruifang.
Wanita itu juga menolak tawaran bagi membuang kedua-dua tanduk kerana dia kini mula berasa gembira apabila dikunjungi ramai orang yang datang melawat ke rumahnya dengan membawa bersama makanan, hadiah dan mahu bergambar dengannya.

- Agensi

Cili boleh kuruskan badan


LOS ANGELES - Sekumpulan saintis Universiti California, Amerika Syarikat (AS) mendakwa, memakan banyak cili dapat menurunkan berat badan kerana sayuran tersebut dapat meningkatkan kadar metabolisme dan membakar lemak, lapor sebuah akhbar semalam.
Penemuan itu berdasarkan hasil kajian terhadap 34 sukarelawan lelaki dan wanita yang dihidangkan lada kurang pedas atau perisa tiruan cili.
Kajian itu mendapati pembakaran tenaga dalam badan kumpulan sukarelawan yang memakan banyak cili adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang diberikan makan perisa cili tiruan. - Agensi

Budak lima tahun terkuat dunia




ROM - Seorang budak lelaki berusia lima tahun, Giuliano Stroe (gambar) menarik perhatian ramai apabila mampu melakukan pelbagai aksi lagak ngeri, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada awal tahun ini, dia berjaya memikat panel hakim Guinness World Records ketika mengadakan persembahan berbahaya untuk satu program televisyen Itali.
Dalam persembahan itu, dia membuat aksi berdiri dalam keadaan terbalik.
Dia berjalan dalam keadaan terbalik sejauh 10 meter dengan sebiji bola diapit oleh kedua-dua kakinya.
Giuliano menetap di Itali bersama keluarganya yang berasal dari Romania dan mencipta rekod dunia sebagai manusia paling kuat dalam usia muda iaitu semasa berumur empat tahun.



Bapanya, Iulian Stroe, 33, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu memiliki susuk tubuh seperti seorang ahli bina badan dan turut diberi gelaran sebagai Hulk Hogan yang merupakan penggusti terkenal.
"Dia sering mengikuti saya ke gimnasium dan saya membawanya namun dia dilarang berlatih berseorangan," katanya.
Giuliano kini menjadi perhatian ratusan ribu pengunjung laman perkongsian YouTube yang menyaksikan rakaman dia berlatih dan melakukan aktiviti lagak ngeri.
Walaupun popular, jika tiada latihan angkat berat, Giuliano masih seperti kanak-kanak normal lain yang suka melukis, menonton kartun dan gembira bermain di padang. - Agensi

Bunuh kambing dengan renungan mata

Bunuh kambing dengan renungan mata


SATU adegan filem The Men Who Stares At Goats menunjukkan Clooney (kiri) menggunakan matanya untuk membunuh seekor kambing.


LONDON - Ramai menyangka Projek Jedi yang dipaparkan menerusi filem terbaru The Men Who Stare At Goats lakonan George Clooney yang membunuh seekor kambing dengan menggunakan kuasa matanya merupakan imaginasi seorang penulis skrip Hollywood.

Namun, sebuah akhbar semalam mendedahkan bahawa tidak ramai yang mengetahui bahawa ia merupakan sebahagian daripada projek sulit tentera Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan sekumpulan anggota tentera yang menggunakan kuasa psikik dan bukannya senjata api.
Projek perintis itu yang disokong dengan penyelidikan canggih mahu menggunakan kuasa psikik bagi merevolusi kaedah peperangan.
Menerusi Projek Jedi, tentera AS mahu menghasilkan anggota tentera 'ajaib' yang mampu merisik dan membunuh musuh serta mematikan bom nuklear dengan menggunakan kuasa minda mereka.
"Anda perlu sedar bahawa idea ini tidak dianggap mengarut oleh pihak tentera," kata seorang anggota pasukan khas yang terlibat dalam Projek Jedi, Sarjan Glenn Wheaton.
Menurutnya, tentera AS turut melakukan penyelidikan dan eksperimen kuasa psikik bagi menghasilkan askar yang boleh berjalan menembusi dinding dan menjadi halimunan.
Ketaksuban penggunaan kuasa paranormal itu bermula apabila tentera AS mendapat maklumat bahawa Rusia giat membangunkan program senjata psikik mereka sendiri yang melibatkan lebih 40 institut paranormal negara itu.
"Mereka dilihat bakal membuka lembaran baru teknologi ketenteraan. Kita perlu mengetahui sama ada kuasa minda boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan selain mencari cara untuk melindungi diri jika diserang mereka (Rusia)," tambahnya.
Sejak beberapa dekad lalu dunia dikejutkan dengan beberapa demonstrasi kuasa minda luar biasa terutamanya oleh pengamal magis dari India, Yusultini yang mengapungkan diri wanita ke udara pada tahun 1950-an. - Agensi

Misteri kawah gergasi

Misteri kawah gergasi


BEBERAPA penduduk semalam menyaksikan satu kawah yang terbentuk dipercayai akibat hentaman tahi bintang di sebuah padang dekat Mazsalaca, Latvia.


RIGA, Latvia - Penduduk di utara Latvia gempar apabila sebuah kawah besar terbentuk dipercayai akibat dihentam sebutir tahi bintang lewat kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian itu berlaku dekat sebuah rumah ladang dekat bandar Mazsalaca dalam daerah Valmiera berhampiran dengan sempadan Estonia, 798 kilometer ke tenggara Moscow, Rusia.
Ia menghasilkan kawah sedalam lima meter dan selebar 15 meter, namun saksi-saksi berkata, mereka mendengar bunyi kuat seperti sebuah pesawat terbang yang rendah sebelum kawah tersebut terbentuk.
Seorang jurucakap perkhidmatan bomba Latvia berkata, satu unit pengesan kimia dari pasukan tentera telah menguji kesan objek tersebut dan mendapati paras radiasi masih normal.
Anggota polis membuat kepungan di sekitar kawasan tersebut sementara menunggu pakar geologi dari Universiti Latvia tiba bagi mengesahkan sama ada objek itu ialah tahi bintang. - Agensi

Bomjon gila bertapa

Bomjon gila bertapa

BOMJON bertapa di perdu sebatang pokok gergasi selama 10 bulan ketika berusia 15 tahun.


KEHADIRAN dan kehilangannya mengundang perhatian dan kegemparan sekali gus. Kekecohan bukan sahaja berlaku di kampungnya, Ratanapuri, yang terletak di daerah Bara, Nepal, malah di seluruh dunia.
Digelar Palden Dorje, populariti Ram Bahadur Bomjon, 19, berakar umbi kepada legenda Gautama Buddha, kononnya dia ialah jelmaan semula tokoh budaya itu. Bomjon sendiri telah menafikannya, begitu juga pengikut-pengikut Buddha.
Namun, yang lebih menarik perhatian antarabangsa terutamanya pengamal perubatan Barat ialah kemampuan remaja itu menahan diri daripada lapar dan dahaga selama hampir 10 bulan semasa melakukan meditasi pada tahun 2005.
Bagi mengesahkan kemampuan hidup tanpa makan dan minum, pergerakan Bomjon yang ketika itu berusia 15 tahun diperhatikan dan dirakam.
Pakar perubatan berpendapat purata kemampuan manusia boleh hidup tanpa minuman adalah sekitar tiga hingga empat hari sebelum mengalami hidrasi dan maut.
Bagaimanapun, mengikut Guinness Book of Records, rekod paling lama manusia boleh hidup tanpa minuman ialah selama 18 hari. Tanpa air, manusia akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti kulit menjadi kasar, bibir merekah, hidung berair dan berpeluh.
Seorang penulis Amerika, George Saunder yang berjaya menghampiri Bomjon dan memerhatikannya selama semalaman, begitu kagum dengan keadaan budak lelaki itu yang kekal dalam posisi meditasi meskipun dalam cuaca yang sangat sejuk pada waktu malam.
Tiada penjelasan yang kukuh dapat diberikan namun kebanyakan pakar perubatan menyatakan, pada peringkat meditasi yang ekstrem, tubuh manusia mampu berhibernasi dan memperlahankan fungsi organ.
Kerap hilang
Malah ada antara mereka yang mengatakan terdapat beberapa fenomena yang tidak akan difahami sampai bila-bila atau dibongkar oleh sains.
Pemerhatian yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Discovery Channel mendapati tiada sebarang makanan atau minuman yang tersembunyi di kawasan pertapaan Bomjon.
Pokok besar yang menjadi tempat meditasi tersebut juga dikunci dan dikawal rapi oleh abang sulung Bomjon dan pelawat hanya boleh melihatnya dari jarak tidak kurang daripada tiga meter.
Namun, terdapat spekulasi yang menyatakan Bomjon makan dan minum sekitar pukul 5 petang hingga 5 pagi kerana pada waktu itu tiada siapa yang boleh menghampirinya.
Ibu Bomjon, Maya Devi Tamang yang mempunyai nama serupa seperti ibu Buddha, pengsan apabila mengetahui anak lelakinya itu mahu bermeditasi untuk satu tempoh yang sangat lama.
Meditasi Bomjon selama 10 bulan pada tahun 2005 hanyalah satu permulaan bagi mengikuti perjalanan Buddha pernah bertapa selama enam tahun.
Selepas itu, Bomjon telah beberapa kali menghilangkan diri sebelum kembali muncul kerana mendakwa tidak mendapat ketenangan hakiki.
Selepas pertapaan selama 10 bulan itu, Bomjon hilang pada 11 Mac 2006. Dia tidak memberitahu sesiapa malah ada yang percaya dia telah diculik. Pengikutnya pula mengagak Bomjon pergi jauh ke dalam hutan untuk mencari tempat yang sunyi untuk bertapa.
Pada 25 Disember, penduduk kampung di Bara terserempak dengan Bomjon yang sedang bermeditasi. Dia membawa sebilah pedang sebagai perlindungan di dalam hutan dan mendakwa tidak makan kecuali tumbuh-tumbuhan herba.
Pada 8 Mac 2007, dia meninggalkan Bara lagi untuk mencari tempat pertapaan yang lebih tenang.
Pada 26 Mac, seorang inspektor polis menemui Bomjon di dalam sebuah parit sedalam tujuh kaki yang dibina seperti kubu. Pasukan polis mencarinya selepas tersebar khabar angin yang mendakwa Bomjon sedang bertapa di dalam tanah.
Pada awal tahun ini pula, dengan rambut panjang sehingga paras pinggang, Bomjon sekali lagi menghilangkan diri selepas mengadakan perjumpaan dengan pengikutnya. Dia memberitahu akan kembali selepas tamat pertapaan selama enam tahun iaitu pada tahun 2011 atau 2012.

‘Kolam ajaib’ telan pokok kelapa - Lubang akibat mendapan, ramai anggap air jadi penawar

‘Kolam ajaib’ telan pokok kelapa - Lubang akibat mendapan, ramai anggap air jadi penawar


OSMAN menggunakan batang besi bagi mengukur kedalaman kolam air yang terdapat di kawasan kebunnya di Kangar semalam.




KANGAR - Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati sebuah 'kolam air ajaib' sebesar 7.5 meter terbentuk dipercayai akibat mendapan tanah di belakang rumahnya di Kampung Behor Janggus di sini baru-baru ini.
Pemilik tanah di kawasan itu, Osman Abu Bakar, 70, (gambar) berkata, kolam tersebut dipercayai terbentuk dalam pada malam Ahad lalu dan telah 'menelan' beberapa tanaman di kebunnya termasuk tiga pokok kelapa yang setinggi lebih 5.5 meter di kawasan yang sama.
"Sejak berita mengenai pembentukan kolam ini, ia mula tersebar dan orang ramai mula berkerumun untuk mengambil air dari kolam itu yang disangka mempunyai kuasa ajaib.
"Oleh itu, bagi mengelak kemalangan atau khurafat saya terpaksa menutup dengan memasang pita penghadang di sekeliling kolam berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Osman, 'kolam ajaib' tersebut yang menakung air kini menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar Perlis yang bertandang untuk mengambil air dari kolam itu kononnya bagi dijadikan penawar.
Menceritakan bagaimana kolam 'ajaib' tersebut terbentuk, menurut Osman, ia hanya disedari pada pagi Isnin tersebut ketika dia melihat tanaman kebunnya yang tiba-tiba lapang berbanding sebelum ini dipenuhi pokok.

India kurang tandas

India kurang tandas


PEMANDANGAN orang ramai membuang air kecil di tempat awam adalah sesuatu yang biasa di Mumbai, India.


TIADA sesiapa yang boleh mengatakan Radha Jagarya seorang insan yang bertuah. Janda berusia 45 tahun yang mempunyai empat orang anak itu tinggal di kaki lima sebuah pasar di bahagian selatan luar bandar Mumbai. Dia menyara keluarganya dengan menjual bunga kepada penunggang motosikal yang lalu-lalang.

Tetapi, dari segi kemudahan tandas, keluarga itu patut bersyukur kerana disediakan fasiliti yang baik berbanding di tempat lain. Terdapat tandas-tandas mencukupi yang terletak lima minit dari konsultan Amerika Syarikat (AS) dan terdapat sebuah lagi di bawah jalan yang sibuk.
Sedangkan, di kawasan setinggan seperti di Mumbai yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai, purata 81 orang bergantung kepada sebuah tandas. Di sesetengah kawasan lain, bilangan itu boleh mencecah kepada 273 orang. Kiraan yang paling rendah adalah dalam lingkungan 58 orang, lapor sebuah majlis perbandaran.
Pada hari-hari biasa, jangan terkejut sekiranya anda terserempak dengan orang awam yang membuang air kecil di tepi jalan raya, landasan kereta api mahupun di pantai.
Perbuatan itu dilakukan secara terbuka biarpun Mumbai terkenal sebagai penggerak ekonomi India dan tempat kediaman kepada sebahagian besar golongan berada. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan bahawa 600 juta atau 55 peratus daripada warga India melakukan perkara tersebut di luar rumah.
Lebih menyedihkan ialah kejadian yang tidak bermoral itu masih berterusan walaupun telah dibangkitkan pertama kali lebih 60 tahun yang lalu oleh pejuang keamanan, Mahatma Gandhi demi mempraktikkan amalan pembuangan najis secara betul.
Risiko penyakit
Jack Sim melihat perkara itu dengan serius. Sebagai Pengasas dan Presiden Organisasi Tandas Sedunia (WTO), beliau menyatakan hasrat murninya untuk menambah baik kemudahan sanitasi di seluruh pelosok dunia.
Baginya, India perlu memperbaiki perkara itu bukan sahaja kerana ia menyebabkan impak ke atas penyebaran penyakit tetapi ia turut mencemarkan nama negara. Antara penyakit yang membimbangkan ialah cirit-birit kerana menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), seramai 1,000 kanak-kanak India di bawah umur lima tahun mati setiap hari disebabkan penyakit itu.
Sim yang mempromosikan Hari Tandas Sedunia pada 19 November yang lalu turut mempersoalkan sama ada pihak majlis perbandaran melakukan usaha dan tindakan yang setimpal bagi menyediakan kemudahan tandas yang mencukupi menjelang Sukan Komanwel 2010. Ia bakal menarik puluhan ribuan pengunjung dari seluruh dunia.
"Jika anda tidak mempunyai tandas yang bersih, mereka pasti tidak mahu datang dan melawat tempat-tempat yang cantik," katanya
Masalah itu dialami di hampir semua bandar di mana ia mengganggu pembangunan rumah, sistem air dan perkhidmatan lain. Semuanya kerana permintaannya melebihi bekalan. Populasi India juga semakin bertambah secara mendadak. Pada Mac lalu, pihak perbandaran mendapati terdapat 77,526 orang tinggal di kawasan rumah setinggan dan mereka masih memerlukan sebanyak 64,157 tandas baru. Kerja-kerja penambahan hanya tertumpu kepada 6,050 tandas.
Berdasarkan kepada laporan Pembangunan Manusia Mumbai PBB 2009 yang disiarkan pada awal bulan ini, kebanyakan tandas yang sedia ada tidak mempunyai air, bekalan elektrik atau sistem perparitan yang baik.
Ini menjadikan tempat itu tidak bersih dan tidak boleh digunakan. Paling memalukan ialah kaum wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa tunggu sehingga malam sebelum boleh menggunakannya. Ini secara tidak langsung menambah risiko jangkitan kuman, keganasan dan gigitan ular.

KAWASAN setinggan di Mumbai mempunyai bilangan penduduk yang ramai dengan purata 81 orang bergantung pada sebuah tandas.


Kerugian
Kemudahan tandas yang tidak sempurna dan penyebaran penyakit telah menyebabkan ekonomi India menanggung kerugian sehingga AS$255 juta dolar (RM876 juta) setahun. Sim yang berpendapat bahawa kebersihan tandas dan pembangunan sosial saling berkait rapat antara satu sama lain mahu isu itu dimasukkan ke dalam agenda politik.
"Pengalaman menggunakan tandas harus meninggalkan kesan yang baik, selamat, bersih dan tidak membuatkan seseorang rasa loya," kata Sim.
Sementara itu, pembabitan sektor swasta boleh mengurangkan pergantungan kepada kerajaan.
Di Haryana, utara India, sebuah kempen 'Tidak Ada Tandas, Tidak Ada Isteri' berjaya menarik perhatian wanita untuk mencari pasangan hidup yang menyediakan sebuah rumah dengan tandas.
"Semua masalah ialah satu perniagaan. Mereka yang sihat sejahtera boleh menyumbang kepada produktiviti negara, keluar daripada kancah kemiskinan, menaikkan status kehidupan dan mencari pendapatan yang lebih tinggi.
"Perniagaan bagi saya merupakan cara paling pantas dan murah. Sektor swasta boleh tampil dengan idea-idea inovasi menarik. Biarkan mereka bersaing untuk membantu rakyat miskin," katanya. - AFP