Latest Updates

Kereta terbang lulus ujian




KERETA terbang ini menjalani ujian penerbangan di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.

NEW YORK - Dengan hanya menekan beberapa butang sebuah kereta mampu berubah menjadi sebuah kapal terbang dalam masa 30 saat, lapor sebuah akhbar.
Ia mampu terbang pada kelajuan 185.07 kilometer sejam dan bergerak sejauh 724 kilometer dengan menggunakan minyak petrol tanpa plumbum biasa.
Kereta terbang pertama dunia itu dipandu uji oleh seorang juruterbang veteran Amerika Syarikat (AS), Phil Meteer.
Dia mengendalikan kereta terbang itu di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.
"Kereta ini terbang seperti sebuah kapal terbang."
Pembuat kereta terbang itu, syarikat Terrafugia dari Woburn, Massachusetts menyatakan ia akan dikeluarkan pada hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terrafugia, Carl Dietrich berkata: "Kejayaan itu akan mengubah pergerakan peribadi di dunia."
Kereta sepanjang 5.79 meter itu berharga AS$182,405.31 (RM664,145). - Agensi





LIHAT VIDEO KERETA TERBANG.

Saintis rungkai misteri ikan ganjil


IKAN ganjil ini mempunyai kepala yang lut sinar.

LOS ANGELES - Sekumpulan saintis cuba menyelesaikan misteri yang berusia 50 tahun terhadap seekor ikan ganjil yang mempunyai dua mata di hadapan kepalanya, lapor sebuah akhbar.
Ikan itu turut mempunyai bahagian kepala yang lut sinar dan hidup di dasar laut dalam.

Ahli-ahli biologi di Institut Akuarium Teluk Monterey, California di Amerika Syarikat (AS) menggunakan video untuk mengkaji pergerakan mata ikan ganjil itu.
Pada kebiasaannya ikan mempunyai mata di sisi badan sekali gus mampu melihat apa yang berlaku di sekeliling kawasan haiwan itu.
Ikan ganjil itu mempunyai mata di depan kepala sama seperti manusia.
Namun, saintis-saintis itu mendapati mata ikan tersebut boleh bergerak ke dalam bahagian lut sinar di kepalanya bagi membantunya mengesan pencari mangsa dan makanan. - Agensi

Penzina dedah kisah di penjara

Penzina dedah kisah di penjara




DUBAI - Seorang wanita Britain mendedahkan suasana dalam penjara ketika dia menjalani hukuman kerana kesalahan berzina di sini, lapor sebuah akhbar.
Ibu kepada dua anak tersebut, Sally Antia (gambar) mendakwa dia diberi makanan yang mengandungi berenga serta terpaksa berkongsi tandas dengan 100 tahanan wanita yang lain.
Menurut Antia, Dubai terkenal dengan pembangunan hebat namun keadaan penjaranya sangat daif.

Antia dan teman lelakinya, Mark Hawkins, 43, ditahan pada awal pagi 2 Mei lalu selepas mereka keluar dari sebuah hotel lima bintang, Radisson Dubai Deira Creek.
Penahanan Antia, 44, itu dilakukan berikutan suaminya, Vincent, 48, membuat aduan kepada pihak polis.
Warga Britain yang bertugas sebagai juruterbang itu mendakwa isterinya berzina.
Lelaki itu membuat dakwaan tersebut kerana di UAE, dia akan lebih mudah memperoleh hak jagaan terhadap dua anak gadisnya jika isterinya didapati berzina dengan orang lain.
Menurut undang-undang di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), wanita yang berzina tidak berhak memperoleh hak jagaan anak.
"Berada di sini (penjara Dubai) seperti berada di kem buruh paksa. Ia merupakan wajah Dubai yang anda tidak lihat. Saya keliru, ketakutan dan rasa seperti diabaikan," kata Antia.
Walaupun keluarga Antia tiba di Dubai kelmarin, wanita itu mendakwa hanya sejumlah kecil pelawat yang melawatnya sejak di penjara awal bulan ini.
"Saya mahu terus berhubungan dengan anak-anak dan itu adalah satu-satunya cara. Dia ialah penghubung saya kepada anak-anak," kata Antia. - Agensi

Baham anak sendiri

Rashid terima balasan kerana merogol anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.



SEORANG bapa wajib melindungi si anak, bukan sebaliknya. - Gambar hiasan

KISAH haruan makan anak sememangnya mudah mengundang kebencian orang yang mendengarnya. Tentulah sukar diterima apabila si bapa yang sepatutnya bersifat pelindung sanggup menjadikan anak perempuannya yang masih kecil sebagai pemuas nafsu.

Namun itulah yang dilakukan seorang bapa bernama Rashid, 40. Lelaki yang berasal dari Puchong, Selangor ini kini menjalani hukuman penjara selama 18 tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan merogol anak perempuannya sendiri yang ketika itu berumur tujuh tahun.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau ialah penjara selama 36 tahun tetapi diringankan kepada 18 tahun selepas dia membuat rayuan.
Rashid tidak lagi dapat melihat dunia luar selepas ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sejak Januari 2005. Sekarang, Rashid masih ingin merayu untuk meringankan lagi hukuman tersebut.
Selain merogol anak sendiri, dia pernah juga melakukan dosa-dosa lain.
"Sebelum ini memang saya banyak buat silap dalam hidup. Saya lupakan Allah dan banyak melakukan perkara terlarang seperti minum arak dan main perempuan," katanya yang mempunyai dua orang anak perempuan.
Kerana kejadian itu, Rashid bercerai dengan isterinya. Perkahwinan yang dibina lebih 10 tahun musnah begitu sahaja selain hak penjagaan kedua-dua anaknya juga diserahkan kepada bekas isterinya.
"Disebabkan peristiwa itu juga, bekas isteri saya tidak pernah membawa anak-anak berjumpa saya di penjara walaupun semasa hari raya bertanyakan khabar melalui surat juga jauh sekali.
"Cuma ibu dan bapa yang terus menjadi pendorong saya. Mungkin bekas isteri marah dengan saya tetapi anak-anak itu juga zuriat semasa kami hidup bersama.
"Usia semakin lanjut. Jika ingin membina kehidupan semula pada usia lanjut mungkin agak sukar bagi saya," katanya kesal.
Bahana hidup mewah
Rashid mengakui kehidupannya sebelum ini dilimpahi kemewahan. Maklumlah dia seorang ahli perniagaan berjaya dalam industri hiburan dan perumahan. Namun dengan satu kesilapan, beliau menyesal seumur hidup.
Kekayaan itu juga membuatkan dirinya alpa.
"Saya suka pergi ke kelab malam, minum arak dan main perempuan. Kebanyakan masa dihabiskan dengan aktiviti seperti itu sehingga isteri saya mula tidak menyenangi sikap saya.
"Saya juga kurang memberi perhatian kepada anak-anak dan isteri. Fikir saya dengan kemewahan yang diberi telah mencukupi untuk membahagiakan mereka.
"Mungkin juga hukuman ini menjadi penebus kesilapan lalu yang saya pernah lakukan," katanya.


RASHID tidak mahu mati di dalam penjara.


Kehidupan di dalam penjara sememangnya jauh berbeza daripada tinggal di kediaman mewah atau memandu kereta mahal. Pada hari pertama dihumban ke penjara, Rashid mengaku tidak boleh tidur.
"Macam-macam perkara bermain di fikiran, apa bakal terjadi pada saya.
"Dahulu saya pakai baju berjenama serta berkereta mewah untuk ke lokasi yang diingini tetapi kini pakaian, makanan serta kehidupan dilalui adalah sama setiap hari.
"Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan penghuni penjara yang lain di samping mengikuti pelbagai peraturan serta disiplin yang ketat. Jika difikir selalu, boleh jadi gila," katanya.
Perit tinggal di penjara
Setelah agak lama begitu, barulah Rashid dapat membiasakan diri. Menurutnya, prinsip utama yang dipegang ialah 'orang tak kacau aku dan aku pun tak kacau orang lain'. Kini dia dapat membiasakan diri dengan baik.
"Di dalam ini (penjara) terdapat pelbagai jenis banduan dengan latar belakang jenayah seperti mengedar dadah, membunuh, memberi rasuah dan pelbagai jenayah lain.
"Jika kita pandai bergaul tiada masalah akan terjadi. Lagipun pihak warden penjara sentiasa memantau keselamatan banduan dengan baik," katanya.
Rashid mengakui kehidupan di penjara mengajarnya supaya lebih berdisiplin dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Bangun solat Subuh adalah satu perkara yang amat liat dilakukan dahulu. Solat berjemaah di sini mengajar saya erti disiplin.
"Tekad saya apabila keluar nanti, saya akan menjadi bapa yang bertanggungjawab. Saya juga mahu menceritakan pada orang lain supaya jangan sesekali terbabit dengan jenayah kerana hukumannya begitu menekan jiwa
"Saya akan memastikan anak-anak mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang secukupnya supaya hidup mereka dihormati orang lain.
"Perit hidup di penjara. Jika di luar kita mungkin juara tetapi di penjara tiada yang membezakan, cuma tempoh tahanan dihadapi. Malah ada banduan yang terkurung sampai mati selain digantung di sini," ujar Rashid jujur.

Ular sehalus spageti

Ular sehalus spageti


ULAR paling kecil di dunia diumumkan saintis baru-baru ini.

SPESIES ular terkecil telah diumumkan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini oleh para saintis.
Ular yang dinamakan Leptotyphlops carlae itu senipis mi spageti. Saintis turut membuatkannya perbandingan dengan meletakkan ular tersebut di atas sekeping duit syiling.
Reptilia sepanjang 10 sentimeter itu telah ditemui melingkari di bawah sebuah batu di Kepulauan Karibean, Barbados.

Penduduk Islam 1.57 bilion


WASHINGTON - Bilangan penduduk Islam dunia kini mencecah 1.57 bilion atau seorang daripada empat penduduk dunia menganut agama Islam, demikian menurut laporan Pew Forum on Religion and Public Life yang dikeluarkan.
Projek yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan itu turut memberi data mengejutkan iaitu bilangan penganut agama Islam di Jerman lebih banyak berbanding di Lebanon dan China mempunyai ramai penganut Islam berbanding Syria.
Data lain yang mengejutkan ialah lebih ramai penduduk Islam di Rusia jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Islam di Jordan dan Libya.
Penduduk Islam di Habsyah hampir menyamai penduduk Islam di Afghanistan.
"Secara amnya, laporan ini menghapuskan pendapat menyatakan umat Islam itu ialah penduduk Arab dan Arab ialah Islam," kata penolong profesor Universiti Princeton, Amaney Jamal.
Pew yang merupakan cabang penyelidikan Universiti Princeton menyatakan, penganut Islam berada di belakang penganut Kristian yang dianggarkan 2.2 bilion pengikut.
Tugas sukar bagi menentukan penduduk umat Islam di 232 negara dan wilayah itu membabitkan penilaian sejumlah laporan banci penduduk, kajian demografi, tinjauan populasi dan bancian umum, kata laporan.
Laporan itu cuba untuk memecahkan penduduk Islam mengikut mazhab Sunah dan Syiah tetapi ia sukar dilaksanakan kerana hanya beberapa negara merekodkan pecahan tersebut, kata seorang penyelidik kanan, Brian Grim.
Laporan Pew mendapati sebanyak 13 peratus pengikut Islam berpegang kepada mazhab Syiah.
Sebanyak 80 peratus populasi Syiah tertumpu di Iran, Pakistan, India dan Iraq.
Hampir 60 peratus umat Islam berada di Asia, 20 peratus di Asia Barat dan Afrika Utara, 15 peratus tinggal di Afrika Sub-Sahara, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.
Sebanyak 317 juta umat Islam atau seperlima daripada populasi tinggal di negara-negara yang bukan negara majoriti Islam.
Hampir tiga perempat umat Islam tinggal sebagai minoriti di lima negara utama iaitu India (161 juta), Habsyah (28 juta), China (22 juta), Rusia (16 juta) dan Tanzania (13 juta). - AP


Dua wanita dirotan di Aceh


MURNI AMRIS (kiri) dirotan di sebuah masjid di Aceh Besar, Aceh semalam.

BANDA ACEH, Indonesia - Dua wanita dirotan di wilayah Aceh, Indonesia semalam kerana menjual makanan semasa bulan Ramadan, kata seorang pegawai.

Ratusan orang berhimpun untuk melihat Murni Amris, 27, dirotan sebanyak tiga kali manakala Rukiah Abdullah, 22, menerima dua rotan di sebuah masjid di bandar Jantho, tenggara Banda Aceh.
"Dua wanita itu ditemui menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengahari semasa Ramadan. Undang-undang syariah melarang makanan dijual semasa bulan puasa dalam Ramadan," kata seorang ketua polis syariah, Marzuki Abdullah.





MURNI AMRIS dipimpin oleh seorang anggota polis sebelum dia dirotan semalam.


Murni memiliki sebuah gerai makanan manakala Rukiah menjual nasi.
Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera merupakan antara beberapa wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah.
Dalam bulan Ramadan, penganut Islam berpuasa dari awal pagi sehingga senja yang bermula pada Ogos dan berakhir awal September tahun ini.
Turut dirotan ialah Fakhruddun Harun sebanyak lapan kali di pekarangan sebuah masjid di Aceh Besar kerana kesalahan berjudi. - Agensi





Kristal milik keluarga Nabi Muhammad dilelong

Kristal milik keluarga Nabi Muhammad dilelong


PEMBURU harta karun, Luc Heymans memegang pisau bersalut emas bertulisan Arab yang ditemui di perairan Cirebon dan dilelong pada hari ini.

JAKARTA - Sebanyak 24 batu kristal berusia 1,000 tahun yang merupakan antara harta karun yang ditemui dari bangkai sebuah kapal karam di perairan utara Cirebon, Jawa Barat, Indonesia dipercayai milik keluarga Nabi Muhammad SAW pada zaman Dinasti Fatimiyah, lapor beberapa buah akhbar .

Menurut Ketua Pengarah PT Paradigma Putra Sejahtera, Adi Agung Tirtamarta, batu tersebut akan dilelong pada hari ini bersama semua harta karun itu.
"Di dunia, cuma terdapat 40 batu kristal. Harta karun yang ditemui di Cirebon itu cuma mempunyai 24 batu kristal," kata Adi yang menyewa sebuah kandang kuda di Pamulang untuk dijadikan tempat simpanan harta karun itu yang ditemui oleh sekumpulan nelayan Indonesia pada 2004.
Syarikat milik Adi itu mengendalikan lelongan harta karun itu secara pukal dan tidak satu persatu.
Harga minimum lelongan itu ialah AS$80 juta (RM254.8 juta).
Adi berkata, batu kristal itu dipercayai berasal dari Dinasti Fatimiyah yang merupakan keturunan keluarga anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Siti Fatimah dan suaminya, Ali bin Abi Talib.
Siti Fatimah merupakan puteri bongsu Nabi Muhammad bersama isteri pertama baginda, Siti Khadijah.
Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.
Namun, seorang pegawai di Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia, Sudirman Saad berkata, pada Isnin lalu tidak ada seorang pun pembida yang telah membayar deposit sebanyak AS$16 juta (RM51.41 juta) atau 20 peratus daripada harga lelongan minimum.
"Terdapat 20 orang yang berminat untuk menyertai lelongan itu termasuk dari luar negara.
"Pembida yang berminat itu datang dari Singapura, Beijing, Hong Kong, Malaysia dan Jepun," katanya.
Menurutnya, setakat ini, tidak ada pembida yang meletakkan wang deposit tetapi lelongan itu akan tetap diadakan pada hari ini.
"Jika tidak ada pembeli, lelongan itu akan diadakan buat kali kedua," katanya.
Pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus hasil lelongan manakala bakinya akan dibahagikan di antara pihak yang terlibat menemuinya termasuk pemburu harta karun, Luc Heymans. - Agensi

Kayu 20 meter bukti kukuh bahtera Nabi Nuh



GAMBAR di laman YouTube menunjukkan serpihan kayu yang ditemui oleh satu kumpulan ekspedisi China-Turki di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.

WASHINGTON - Seorang anggota ekspedisi China-Turki mempertahankan dakwaan mengenai penemuan serpihan bahtera Nabi Nuh di celah lereng Gunung Ararat setinggi 4,000 meter di Turki, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang meragui penemuan kumpulan itu selepas pendedahannya dibuat pada satu sidang akhbar pada minggu lalu di Hong Kong sehingga seorang saintis Britain mahu bukti lebih kukuh dikemukakan.
"Bagaimanakah sebuah kapal boleh berada di atas gunung," kata seorang anggota ekspedisi itu yang memasuki Gunung Ararat pada Oktober lalu, Yeung Wing-cheung.
Menurut seorang penyelaras ekspedisi itu, Clara Wei, satu-satunya rekod struktur kayu yang ditemui di gunung itu ialah daripada bahtera Nabi Nuh.
"Sehingga kini, saya percaya ini ialah satu penjelasan yang paling munasabah. Kami tidak mempunyai penjelasan lain. Kami tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan," tambahnya.
Menurut Wei: "Anda boleh menyewa beberapa ekor kuda untuk membawa beg tetapi anda tidak boleh mengimbangi kuda tersebut dengan kayu sepanjang 20 meter ( yang ditemui di dalam lereng gunung itu)."
Dia berkata, tidak ada tembikar dan bukti kebudayaan lain ditemui di gunung tersebut.
Pada Isnin lepas, kumpulan ekspedisi tersebut mengumumkan penemuan struktur dan serpihan kayu bahtera Nabi Nuh di dalam lereng Gunung Ararat, Turki dengan menyatakan ujian karbon menunjukkan barang yang ditemui itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh sama kejadian banjir besar berlaku.
Beberapa pihak meragui penemuan itu kerana pasuakan ekspedisi itu tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat penemuan berkenaan.
Namun, kumpulan ekspedisi itu menyatakan lokasi sebenar tempat penemuan tersebut akan didedahkan selepas pemerintah Turki bersetuju menjadikan tempat penemuan sebagai kawasan arkeologi.
Pada Jumaat lalu, agensi berita AFP menyatakan, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China. - Agensi

Turki arah kayu bahtera Nabi Nuh dibawa keluar disiasat



GAMBAR fail menunjukkan rak kayu yang didakwa sebahagian daripada bahtera Nabi Nuh yang ditemui di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.

ANKARA - Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China, lapor media.
"Bagaimanakah objek-objek itu boleh berada di sana (China)?," kata Ertugrul.
Kenyataan itu disiarkan oleh akhbar Milliyet .
Satu ekspedisi dari China dilaporkan telah mempamerkan serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh pada satu sidang media pada awal minggu ini di Hong Kong.
Kumpulan ekspedisi yang mengandungi 15 anggota tersebut mendakwa serpihan itu ditemui di dalam lereng Gunung Ararat pada ketinggian 4,000 meter di timur Turki.
Pada sidang akhbar yang diadakan pada awal minggu ini, salah seorang anggota ekspedisi itu yang merupakan seorang pembikin filem dokumentari, Yeung Wing-cheung berkata pihaknya 99.99 peratus yakin telah menemui bahtera Nabi Nuh.
Kumpulan ekspedisi berkenaan mendakwa telah menemui spesimen kayu dan ujian penentuan tarikh karbon mendapati serpihan kayu yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh yang dianggap berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh.
Menurut kitab Injil, banjir besar itu berlaku selepas banyak kejahatan berlaku di bumi menyebabkan Nabi Nuh diminta membina bahtera dan membawa bersamanya sepasang haiwan daripada setiap spesies.
Ertugrul berkata, siasatan itu juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kehadiran seorang pegawai Turki pada sidang akhbar penemuan bahtera Nabi Nuh di Hong Kong. Pegawai itu hadir tanpa kebenaran daripada pemerintah Turki.
Namun, menteri tersebut menegaskan, beliau menyokong penemuan bahtera Nabi Nuh itu di Turki dengan memujinya sebagai satu bonus untuk sektor pelancongan. - AFP

Kucing miliki tompok seperti misai Hitler

kucing yang memiliki tompok hitam di bawah hidung yang kelihatan seperti misai Adolf Hitler.

GODMANCHESTER, Britain - Seekor kucing diberi nama jolokan Kitler kerana haiwan itu mempunyai tompok hitam di bawah hidung yang menyebabkan ia kelihatan mirip misai bekas pemimpin Nazi dari Jerman, Adolf Hitler.

kucing itu ditinggalkan di tepi sebatang jalan raya dan kini dijaga oleh sebuah pusat perlindungan haiwan di sini.
MIRIP...Misai Hitler

Ratusan pengunjung yang melawat pusat perlindungan haiwan itu enggan mengambil kucing tersebut untuk dipelihara kerana tompokan seperti misai tersebut.
Hitler memang terkenal kerana kekejamannya mengetuai pembunuhan kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Gempar Awan cerut gergasi

AWAN menyerupai cerut yang terbentuk di kaki langit di Devon, barat daya England baru-baru ini. 

DARTMOUTH, Britain - Sekumpulan nelayan menyangka mereka berada dalam filem seram klasik, The Fog apabila melihat formasi awan luar biasa di kaki langit, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Mereka sedang memancing di atas sebuah bot di Selat Inggeris baru-baru ini apabila awan gergasi mirip sebatang cerut tiba-tiba muncul beberapa kilometer di hadapan dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Awan rendah sepanjang 1.6 kilometer itu bergerak ke arah bot mereka, 48 kilometer ke selatan bandar ini dan menyelubunginya beberapa minit kemudian.- Agensi
KAGUM...Nelayan memerhati awan cerut gergasi yang bergolek kearah  bot mereka

SERAM...Dalam masa beberapa minit bot mereka telah di selubungi awan cerut besar


Japanese gangster vans

Tentu anda tidak pernah melihat van-van yang telah di ubahsuai seperti gambar-gambar di bawah ini di negara kita.Tetapi di negara Jepun van-van menjadi keutamaan mereka untuk di ubahsuai selain dari kereta.Di Jepun tidak menjadi kesalahan mengubahsuai kenderaan seperti ini.Ini menjadikan rakyat Jepun sangat kreatif.Saya pernah tinggal di negara Jepun di bandaraya Kyoto kenderaan-kenderaan yang di ubahsuai menjadi pemandangan biasa di sana.
HEBAT...Seperti kenderaan masa dapan.










Lori masa depan

Jika di negara kita orang berlumba-lumba mengubahsuai kereta supaya lebih sporty tetapi di negara-negara maju di barat mereka lebih gemar mengubahsuai lori-lori kepada rekabentuk masa depan yang lebih sporty dan aerodinamik.Luigi Colani, (dilahirkan di Berlin pada 2 Ogos tahun 1928 sebagai Lutz Colani), pereka bentuk perindustrian Jerman yang bapanya datang dari Madulain berhampiran St. Moritz di Switzerland .

Luigi Colani



Beliau telah menerima pelbagai anugerah reka bentuk.
Colani pada masa ini tinggal di Karlsruhe, Jerman. Anaknya Solon Luigi Lutz juga bekerja sebagai pereka. Beliau tinggal di Berlin , Jerman.


Prototaip trak yang direka oleh Colani
Gambar-gambar dibawah antara lori-lori masa depan yang telah meluncur dijalan-jalan raya hasil ciptaanya.


























Gempar Pesawat mendarat atas pokok

GAMBAR menunjukkan Hagedorn dalam pesawatnya.








TANGGA digunakan untuk menyelamatkan Hagedorn.


DUNDEE, Scotland - Seorang juruterbang mengalami luka kecil di dahi apabila sebuah pesawat ringan yang dipandunya tersangkut di atas sebatang pokok di padang golf di sini, lapor akhbar.
Juruterbang itu, Vince Hagedorn, 63, dari Chelmsford, Essex yang mempunyai empat tahun pengalaman sebagai juruterbang berlepas dari Barrow-in-Furness pada sebelah pagi untuk menuju ke sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja British di Kinloss.
Dia tidak menyedari pesawat dua kerusi Flight Design CTSW itu kehabisan minyak.
Hagedorn memutuskan untuk membuat pendaratan kecemasan di Padang Golf Caird di sini selepas teringat kisah dalam komik fiksyen Biggles oleh Kapten W.E. Johns.
"Saya hanya mahu melawat anak perempuan saya, Maggie di Lossiemouth," katanya.
Dia kemudian menjadikan jalan cerita daripada buku yang dibacanya sewaktu zaman kanak-kanak itu sebagai panduan untuk mendaratkan pesawat itu di atas pokok.
Anggota-anggota penyelamat dan beberapa pemain golf mengambil masa sejam untuk membawa Hagedorn turun dari pokok dengan menggunakan tangga. - Agensi