Latest Updates

Kereta terbang lulus ujian




KERETA terbang ini menjalani ujian penerbangan di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.

NEW YORK - Dengan hanya menekan beberapa butang sebuah kereta mampu berubah menjadi sebuah kapal terbang dalam masa 30 saat, lapor sebuah akhbar.
Ia mampu terbang pada kelajuan 185.07 kilometer sejam dan bergerak sejauh 724 kilometer dengan menggunakan minyak petrol tanpa plumbum biasa.
Kereta terbang pertama dunia itu dipandu uji oleh seorang juruterbang veteran Amerika Syarikat (AS), Phil Meteer.
Dia mengendalikan kereta terbang itu di Lapangan Terbang Plattsburg, New York.
"Kereta ini terbang seperti sebuah kapal terbang."
Pembuat kereta terbang itu, syarikat Terrafugia dari Woburn, Massachusetts menyatakan ia akan dikeluarkan pada hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terrafugia, Carl Dietrich berkata: "Kejayaan itu akan mengubah pergerakan peribadi di dunia."
Kereta sepanjang 5.79 meter itu berharga AS$182,405.31 (RM664,145). - Agensi





LIHAT VIDEO KERETA TERBANG.

Saintis rungkai misteri ikan ganjil


IKAN ganjil ini mempunyai kepala yang lut sinar.

LOS ANGELES - Sekumpulan saintis cuba menyelesaikan misteri yang berusia 50 tahun terhadap seekor ikan ganjil yang mempunyai dua mata di hadapan kepalanya, lapor sebuah akhbar.
Ikan itu turut mempunyai bahagian kepala yang lut sinar dan hidup di dasar laut dalam.

Ahli-ahli biologi di Institut Akuarium Teluk Monterey, California di Amerika Syarikat (AS) menggunakan video untuk mengkaji pergerakan mata ikan ganjil itu.
Pada kebiasaannya ikan mempunyai mata di sisi badan sekali gus mampu melihat apa yang berlaku di sekeliling kawasan haiwan itu.
Ikan ganjil itu mempunyai mata di depan kepala sama seperti manusia.
Namun, saintis-saintis itu mendapati mata ikan tersebut boleh bergerak ke dalam bahagian lut sinar di kepalanya bagi membantunya mengesan pencari mangsa dan makanan. - Agensi

Penzina dedah kisah di penjara

Penzina dedah kisah di penjara




DUBAI - Seorang wanita Britain mendedahkan suasana dalam penjara ketika dia menjalani hukuman kerana kesalahan berzina di sini, lapor sebuah akhbar.
Ibu kepada dua anak tersebut, Sally Antia (gambar) mendakwa dia diberi makanan yang mengandungi berenga serta terpaksa berkongsi tandas dengan 100 tahanan wanita yang lain.
Menurut Antia, Dubai terkenal dengan pembangunan hebat namun keadaan penjaranya sangat daif.

Antia dan teman lelakinya, Mark Hawkins, 43, ditahan pada awal pagi 2 Mei lalu selepas mereka keluar dari sebuah hotel lima bintang, Radisson Dubai Deira Creek.
Penahanan Antia, 44, itu dilakukan berikutan suaminya, Vincent, 48, membuat aduan kepada pihak polis.
Warga Britain yang bertugas sebagai juruterbang itu mendakwa isterinya berzina.
Lelaki itu membuat dakwaan tersebut kerana di UAE, dia akan lebih mudah memperoleh hak jagaan terhadap dua anak gadisnya jika isterinya didapati berzina dengan orang lain.
Menurut undang-undang di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), wanita yang berzina tidak berhak memperoleh hak jagaan anak.
"Berada di sini (penjara Dubai) seperti berada di kem buruh paksa. Ia merupakan wajah Dubai yang anda tidak lihat. Saya keliru, ketakutan dan rasa seperti diabaikan," kata Antia.
Walaupun keluarga Antia tiba di Dubai kelmarin, wanita itu mendakwa hanya sejumlah kecil pelawat yang melawatnya sejak di penjara awal bulan ini.
"Saya mahu terus berhubungan dengan anak-anak dan itu adalah satu-satunya cara. Dia ialah penghubung saya kepada anak-anak," kata Antia. - Agensi

Baham anak sendiri

Rashid terima balasan kerana merogol anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.



SEORANG bapa wajib melindungi si anak, bukan sebaliknya. - Gambar hiasan

KISAH haruan makan anak sememangnya mudah mengundang kebencian orang yang mendengarnya. Tentulah sukar diterima apabila si bapa yang sepatutnya bersifat pelindung sanggup menjadikan anak perempuannya yang masih kecil sebagai pemuas nafsu.

Namun itulah yang dilakukan seorang bapa bernama Rashid, 40. Lelaki yang berasal dari Puchong, Selangor ini kini menjalani hukuman penjara selama 18 tahun di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan merogol anak perempuannya sendiri yang ketika itu berumur tujuh tahun.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau ialah penjara selama 36 tahun tetapi diringankan kepada 18 tahun selepas dia membuat rayuan.
Rashid tidak lagi dapat melihat dunia luar selepas ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sejak Januari 2005. Sekarang, Rashid masih ingin merayu untuk meringankan lagi hukuman tersebut.
Selain merogol anak sendiri, dia pernah juga melakukan dosa-dosa lain.
"Sebelum ini memang saya banyak buat silap dalam hidup. Saya lupakan Allah dan banyak melakukan perkara terlarang seperti minum arak dan main perempuan," katanya yang mempunyai dua orang anak perempuan.
Kerana kejadian itu, Rashid bercerai dengan isterinya. Perkahwinan yang dibina lebih 10 tahun musnah begitu sahaja selain hak penjagaan kedua-dua anaknya juga diserahkan kepada bekas isterinya.
"Disebabkan peristiwa itu juga, bekas isteri saya tidak pernah membawa anak-anak berjumpa saya di penjara walaupun semasa hari raya bertanyakan khabar melalui surat juga jauh sekali.
"Cuma ibu dan bapa yang terus menjadi pendorong saya. Mungkin bekas isteri marah dengan saya tetapi anak-anak itu juga zuriat semasa kami hidup bersama.
"Usia semakin lanjut. Jika ingin membina kehidupan semula pada usia lanjut mungkin agak sukar bagi saya," katanya kesal.
Bahana hidup mewah
Rashid mengakui kehidupannya sebelum ini dilimpahi kemewahan. Maklumlah dia seorang ahli perniagaan berjaya dalam industri hiburan dan perumahan. Namun dengan satu kesilapan, beliau menyesal seumur hidup.
Kekayaan itu juga membuatkan dirinya alpa.
"Saya suka pergi ke kelab malam, minum arak dan main perempuan. Kebanyakan masa dihabiskan dengan aktiviti seperti itu sehingga isteri saya mula tidak menyenangi sikap saya.
"Saya juga kurang memberi perhatian kepada anak-anak dan isteri. Fikir saya dengan kemewahan yang diberi telah mencukupi untuk membahagiakan mereka.
"Mungkin juga hukuman ini menjadi penebus kesilapan lalu yang saya pernah lakukan," katanya.


RASHID tidak mahu mati di dalam penjara.


Kehidupan di dalam penjara sememangnya jauh berbeza daripada tinggal di kediaman mewah atau memandu kereta mahal. Pada hari pertama dihumban ke penjara, Rashid mengaku tidak boleh tidur.
"Macam-macam perkara bermain di fikiran, apa bakal terjadi pada saya.
"Dahulu saya pakai baju berjenama serta berkereta mewah untuk ke lokasi yang diingini tetapi kini pakaian, makanan serta kehidupan dilalui adalah sama setiap hari.
"Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan penghuni penjara yang lain di samping mengikuti pelbagai peraturan serta disiplin yang ketat. Jika difikir selalu, boleh jadi gila," katanya.
Perit tinggal di penjara
Setelah agak lama begitu, barulah Rashid dapat membiasakan diri. Menurutnya, prinsip utama yang dipegang ialah 'orang tak kacau aku dan aku pun tak kacau orang lain'. Kini dia dapat membiasakan diri dengan baik.
"Di dalam ini (penjara) terdapat pelbagai jenis banduan dengan latar belakang jenayah seperti mengedar dadah, membunuh, memberi rasuah dan pelbagai jenayah lain.
"Jika kita pandai bergaul tiada masalah akan terjadi. Lagipun pihak warden penjara sentiasa memantau keselamatan banduan dengan baik," katanya.
Rashid mengakui kehidupan di penjara mengajarnya supaya lebih berdisiplin dan mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Bangun solat Subuh adalah satu perkara yang amat liat dilakukan dahulu. Solat berjemaah di sini mengajar saya erti disiplin.
"Tekad saya apabila keluar nanti, saya akan menjadi bapa yang bertanggungjawab. Saya juga mahu menceritakan pada orang lain supaya jangan sesekali terbabit dengan jenayah kerana hukumannya begitu menekan jiwa
"Saya akan memastikan anak-anak mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang secukupnya supaya hidup mereka dihormati orang lain.
"Perit hidup di penjara. Jika di luar kita mungkin juara tetapi di penjara tiada yang membezakan, cuma tempoh tahanan dihadapi. Malah ada banduan yang terkurung sampai mati selain digantung di sini," ujar Rashid jujur.

Ular sehalus spageti

Ular sehalus spageti


ULAR paling kecil di dunia diumumkan saintis baru-baru ini.

SPESIES ular terkecil telah diumumkan di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini oleh para saintis.
Ular yang dinamakan Leptotyphlops carlae itu senipis mi spageti. Saintis turut membuatkannya perbandingan dengan meletakkan ular tersebut di atas sekeping duit syiling.
Reptilia sepanjang 10 sentimeter itu telah ditemui melingkari di bawah sebuah batu di Kepulauan Karibean, Barbados.

Penduduk Islam 1.57 bilion


WASHINGTON - Bilangan penduduk Islam dunia kini mencecah 1.57 bilion atau seorang daripada empat penduduk dunia menganut agama Islam, demikian menurut laporan Pew Forum on Religion and Public Life yang dikeluarkan.
Projek yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan itu turut memberi data mengejutkan iaitu bilangan penganut agama Islam di Jerman lebih banyak berbanding di Lebanon dan China mempunyai ramai penganut Islam berbanding Syria.
Data lain yang mengejutkan ialah lebih ramai penduduk Islam di Rusia jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Islam di Jordan dan Libya.
Penduduk Islam di Habsyah hampir menyamai penduduk Islam di Afghanistan.
"Secara amnya, laporan ini menghapuskan pendapat menyatakan umat Islam itu ialah penduduk Arab dan Arab ialah Islam," kata penolong profesor Universiti Princeton, Amaney Jamal.
Pew yang merupakan cabang penyelidikan Universiti Princeton menyatakan, penganut Islam berada di belakang penganut Kristian yang dianggarkan 2.2 bilion pengikut.
Tugas sukar bagi menentukan penduduk umat Islam di 232 negara dan wilayah itu membabitkan penilaian sejumlah laporan banci penduduk, kajian demografi, tinjauan populasi dan bancian umum, kata laporan.
Laporan itu cuba untuk memecahkan penduduk Islam mengikut mazhab Sunah dan Syiah tetapi ia sukar dilaksanakan kerana hanya beberapa negara merekodkan pecahan tersebut, kata seorang penyelidik kanan, Brian Grim.
Laporan Pew mendapati sebanyak 13 peratus pengikut Islam berpegang kepada mazhab Syiah.
Sebanyak 80 peratus populasi Syiah tertumpu di Iran, Pakistan, India dan Iraq.
Hampir 60 peratus umat Islam berada di Asia, 20 peratus di Asia Barat dan Afrika Utara, 15 peratus tinggal di Afrika Sub-Sahara, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.
Sebanyak 317 juta umat Islam atau seperlima daripada populasi tinggal di negara-negara yang bukan negara majoriti Islam.
Hampir tiga perempat umat Islam tinggal sebagai minoriti di lima negara utama iaitu India (161 juta), Habsyah (28 juta), China (22 juta), Rusia (16 juta) dan Tanzania (13 juta). - AP


Dua wanita dirotan di Aceh


MURNI AMRIS (kiri) dirotan di sebuah masjid di Aceh Besar, Aceh semalam.

BANDA ACEH, Indonesia - Dua wanita dirotan di wilayah Aceh, Indonesia semalam kerana menjual makanan semasa bulan Ramadan, kata seorang pegawai.

Ratusan orang berhimpun untuk melihat Murni Amris, 27, dirotan sebanyak tiga kali manakala Rukiah Abdullah, 22, menerima dua rotan di sebuah masjid di bandar Jantho, tenggara Banda Aceh.
"Dua wanita itu ditemui menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengahari semasa Ramadan. Undang-undang syariah melarang makanan dijual semasa bulan puasa dalam Ramadan," kata seorang ketua polis syariah, Marzuki Abdullah.





MURNI AMRIS dipimpin oleh seorang anggota polis sebelum dia dirotan semalam.


Murni memiliki sebuah gerai makanan manakala Rukiah menjual nasi.
Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera merupakan antara beberapa wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah.
Dalam bulan Ramadan, penganut Islam berpuasa dari awal pagi sehingga senja yang bermula pada Ogos dan berakhir awal September tahun ini.
Turut dirotan ialah Fakhruddun Harun sebanyak lapan kali di pekarangan sebuah masjid di Aceh Besar kerana kesalahan berjudi. - Agensi